Puncak Populariti Achik_&_Nana

Pada tahun 2003, pihak FMC melancarkan album duet pertama mereka yang berjudul Istimewa Untukmu yang sekaligus meletup dan mendominasi pasaran muzik pada tahun tersebut dengan jualan melebihi 100,000 unit. Single pertama berjudul Paling Comel ciptaan Aidit Alfian berjaya mencecah tangga pertama carta di kebanyakan stesen radio manakala beberapa lagi lagu seperti Adat Berkasih dan Sabar Menanti juga tidak kurang hebat popularnya. Populariti duo Achik dan Nana terus unggul apabila dicalonkan untuk kategori Artis Duo dan Berkumpulan Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003.

Umum mengetahui bahawa Achik dan Nana pernah menjalinkan hubungan cinta sejak zaman remaja, namun apabila masing-masing sudah dewasa, hubungan itu tidak lagi diteruskan malahan masing-masing bertemu jodoh dengan insan lain. Kisah cinta mereka pernah diabadikan dalam sebuah novel biografi berjudul Pelangi Jiwa pada tahun 2005.

Album studio kedua mereka berjudul Benang Emas pula menyusul pada tahun 2006 dengan hits seperti Benang Emas dan Tatasuria. Album ini juga mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat malah sempat mengadakan sebuah konsert di kota Singapura yang juga dirakam untuk siaran TV Suria pada tahun tersebut. Namun mereka berdua terpaksa akur untuk tidak terlalu banyak muncul sebagai artis duo kerana masih mempunyai kontrak sebagai penyanyi solo dan berkumpulan. Maka beberapa tahun selepas itu tumpuan lebih diberikan kepada projek masing-masing.